Baginda bertitah, mengimarahkan masjid ialah tanggungjawab wajib dipenuhi oleh mereka yang telah bersedia menerima amanah apabila dilantik sebagai ahli jawatankuasa dan pegawai masjid.

“Orang-orang yang telah diberikan amanah mengurus dan mengimarahkan masjid, jika tidak memenuhi tanggungjawab secara ikhlas, bersungguh dan komited, sebenarnya telah tidak berlaku adil kepada kariah dan bersifat tidak memenuhi janji kepada ummah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Sambutan Jubli Emas Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di sini hari ini.

Turut berangkat Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah serta diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, pembinaan masjid merupakan aspek fizikal, justeru setelah dibina, ia wajib dibangunkan dengan perisian kandungan bermakna, dihidupkan oleh orang-orang yang ikhlas, bersungguh dan komited mahu mengembangkan syiar Islam.

Baginda bertitah, berbanding awal era perkembangan Islam, lebih banyak ruang masjid dipenuhi dengan pelbagai kegiatan kerana ia berperanan sebagai pusat pemerintahan, pentadbiran, kehakiman, perkembangan sahsiah, ilmu, budaya dan tamadun selain aktiviti kebajikan, kemasyarakatan dan perhubungan ummah.

Menurut baginda, peredaran waktu serta perkembangan tamadun telah mengubah cara hidup insan yang menyaksikan perubahan suasana hidup semakin kompleks dengan pertambahan bilangan ummah.

“Oleh itu peranan dan kegiatan yang dahulunya berlaku di dalam bangunan masjid, kini perlu dipindahkan urusannya di pelbagai premis baharu di luar masjid.

“Perkembangan yang berlaku ini tidak bermakna peranan masjid telah tersisih atau telah menjadi kurang penting,” titah baginda. - UTUSAN ONLINE