Rumah mereka yang mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung telah dibaik pulih hasil keprihatinan kerajaan negeri yang memberi bantuan segera.

Seorang mangsa golongan kurang upaya (OKU), Faridah Khairuddin, 44, berkata, pemasangan bumbung baharu itu melegakan hatinya selepas se­minggu ditempatkan di pusat pemindahan.

“Lepas ini saya boleh mengemas rumah dan uruskan kembali bekalan elektrik yang dimatikan demi keselamatan keluarga.

“Kerosakan bumbung rumah saya dianggarkan bernilai RM2,000 tetapi kami sekeluarga reda dengan musibah dan ujian Allah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Fahmi Abdullah, 55, berkata, kejadian ribut itu merupakan kali ketiga yang dialaminya sejak menduduki PPMS Bukit Merah pada 2000.

Namun, katanya, kerosakan yang dialami pada kali ini adalah lebih teruk dengan anggaran kerugian bernilai RM5,000 apabila pelbagai barangan turut rosak akibat terkena hujan.

“Apa pun, saya bersyukur kepada Allah kerana semuanya selamat dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Perhatian dan bantuan segera daripada kerajaan negeri melalui kerjasama agensi kerajaan termasuk pemberian kotak makanan, amatlah kami hargai,” katanya.