Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata kekurangan bekalan tidak akan berlaku sekiranya pengusaha stesen minyak membuat pesanan bekalan bahan api berkenaan seperti biasa.


"Setiap stesen minyak sudah mengetahui trend jualan atau 'volume' jualan, jadi jika mereka menempah bekalan dan menjual seperti biasa tidak akan berlaku kekurangan. 


"Kekurangan hanya berlaku apabila ada stesen yang tutup menyebabkan pengguna terpaksa mencari di stesen lain," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan bekalan bahan api petrol dan diesel di sebuah stesen minyak di sini hari ini.


Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya masih ada penguasa stesen yang yang menyorok atau enggan menjual bahan api kepada orang awam.


"Jika ada pengusaha yang boikot dan tidak mahu jual kita akan ambil tindakan termasuk menyita stesen minyak tersebut dan akan membawa kes tersebut ke mahkamah kerana melanggar syarat lesen," katanya.


Shamsul Nizam berkata sebagai pemegang lesen runcit petrol dan bahan api diesel di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, pengusaha stesen minyak diwajibkan mematuhi syarat di dalam lesen, termasuk bertanggungjawab memastikan bekalan petrol dan bahan api diesel di premis sentiasa ada serta cukup untuk jualan harian.


Kegagalan pengusaha mematuhi arahan tersebut atau apa-apa syarat yang terkandung di dalam lesen runcit barang kawalan yang dikeluarkan merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1974, katanya.


Sementara itu, beliau berkata seramai 187 pegawai penguatkuasa KPDNHEP di Perak akan membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa ke atas stesen minyak bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan orang ramai.


Beliau berkata pengguna yang ingin menyalurkan maklumat atau aduan boleh menghubungi KPDNHEP Perak melalui talian aplikasi Whatsapp KPDNHEP; 019-2794317, talian aduan pengguna; 1800-886-800 atau hadir sendiri ke pejabat KPDNHEP terdekat.- BERNAMA