Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, ketika ini, selain Tanjung Malim, terdapat dua lagi BBM yang dibangunkan di negara ini iaitu di Tuaran, Sabah dan Lundu, Sarawak selain Putrajaya sebagai daerah mesra belia.

Beliau berkata, Majlis Daerah Simpang Renggam di Johor juga telah menyatakan hasrat untuk membangunkan Bandar Renggam sebagai salah satu BBM yang pertama di wilayah selatan.

“Mereka boleh memohon, menyatakan minat serta mengikuti taklimat dan program-program di mana Tanjung Malim dijadikan sebagai penanda aras kerana ia yang terawal.

“BBM merupakan satu konsep mengatasi masalah dihadapi oleh negara antaranya penghijrahan golongan muda dari kawasan semi bandar dan luar bandar ke bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mendengar taklimat pembangunan BBM Tanjung Malim di Majlis Daerah Tanjung Malim yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman.

Selepas itu, Khalid turut menyertai lawatan di beberapa komponen BBM sekitar Tanjung Malim termasuk Taman Rimba Bandar yang dikenali sebagai Ujana Muallim seluas kira-kira 15 hektar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd Daik berkata, Ujana Muallim yang telah siap dibina dengan kos sebanyak RM9 juta, merupakan sebahagian daripada pembangunan Proton City.

Lokasi tersebut yang pada asalnya merupakan kawasan hutan sekunder, antara lain dilengkapi dengan kemudahan tapak perkhemahan, laluan joging serta menara tinjau yang boleh menyaksikan pemandangan Banjaran Titiwangsa secara keseluruhan. - UTUSAN ONLINE