Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, turut dilaksanakan ialah projek-projek keutamaan lain bagi membolehkan pulau bebas cukai Pangkor dibangunkan secara strategik serta bersepadu demi manfaat rakyat.

Menurutnya, ini termasuk penetapan lokasi pintu masuk iaitu jeti di pekan Pangkor sebagai jeti awam pelancong dan jeti di Sungai Pinang Besar sebagai jeti kargo.

“Proses pewartaan pulau bebas cukai Pangkor sedang dalam tindakan Kementerian Kewangan untuk meminda Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Akta Cukai Jualan 2018, Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan Akta Zon Bebas 1990 serta semua perundangan subsidiari yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (BN-Pangkor) yang memohon penjelasan apakah kerajaan sudah memutuskan kawasan CIQ bagi melaksanakan Pangkor sebagai pulau bebas cukai.

Menurut Ahmad Faizal, kerajaan negeri menyasarkan Pangkor sebagai pulau bebas cukai akan mula beroperasi pada 1 Januari tahun depan.

“Kementerian Kewangan dalam surat bertarikh 22 Januari lalu telah bersetuju dengan penetapan polisi pulau bebas cukai di Pangkor,” katanya. - UTUSAN ONLINE