Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beberapa perundingan telah dijalankan pihaknya bersama Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta ejen jualan tiket yang terlibat.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini belum ada sebarang ketetapan yang dibuat berhubung perkara tersebut.

“Apabila kita mahu adakan terminal baharu atau sebagainya, ia perlu dibawa kepada perbincangan Kementerian Pengangkutan dan agensinya, APAD. Kerajaan negeri dan pejabat saya sendiri telah pun mengadakan beberapa perundingan bersama agensi itu.

“Namun belum ada kepastian tentang perkara tersebut tetapi kita mahu bawa ia ke perbincangan bersama ejen-ejen bagi menyelesaikan masalah ini dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Mesyuarat Agung Dwitahunan Perwakilan Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia (Imami) 2019/2021 di Dewan Seri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggua (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Aminuddin Zulkipli; Penaung Imami, Tan Sri Abdullah Ahmad Nasution dan Presiden Imami, Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Cadangan agar bangunan Silveritage dijadikan sebagai terminal bas baharu timbul selepas 43 kaunter jualan tiket di Terminal Amanjaya diarahkan menutup operasi susulan pelaksanaan Sistem Jualan Tiket Berpusat (CTS) bagi menggantikan jualan tiket bas menggunakan ejen.

Arahan menutup operasi yang menjejaskan lebih 200 ejen jualan tiket itu sepatutnya bermula 8 Mac lalu namun telah ditangguhkan sehingga 31 Mac ini.- UTUSAN ONLINE