Merasai sendiri penjelajahan ruang cakerawala itu dan melihat dengan lebih dekat planet, bulan, matahari dan bintang yang seolah-olah berada di hadapan mata juga pasti menjadi kenangan indah untuk diingati meskipun ia cuma visual.

Mengembara ke ‘angkasa lepas’ kini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana orang ramai boleh merasai semua pengalaman itu dengan berkunjung ke Space Park yang terletak di tingkat dua pusat beli belah Angsana Mall di sini.

Pusat berteknologi realiti maya (VR) bertemakan angkasa lepas itu merupakan inisiatif UDA Hol­dings Berhad (UDA) menerusi anak syarikatnya, UDA Mall Sdn. Bhd. dalam menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung.

Mula dibuka kepada umum pada 28 Julai lalu, Space Park kini menjadi tarikan terbaharu kepada pelancong khususnya penduduk di Ipoh dan utara Semenanjung.

Berkonsepkan penjelajahan ang­kasa lepas yang pertama di ne­geri ini, Space Park beroperasi di kawasan berkeluasan 3,251.6 meter persegi dan terbahagi kepada tiga seksyen bahagian iaitu Space Park Arena, Babyland dan Lucky Amusement Park.

Ketua Operasinya, Nam Wong berkata, seiring dengan minat masyarakat terhadap permainan realiti maya, Space Park merupakan lokasi yang perlu dikunjungi oleh penggemar permainan itu terutama bagi mereka yang berminat dalam dunia angkasa lepas.

Menurutnya, di Space Park Arena pengunjung boleh merasai pengalaman penerokaan angkasa lepas menerusi Space Track dan Space Shuttle NASA selain dua permainan VR lain iaitu Dark Mark 9D dan Human Gyroscope.

“Sesuai sebagai pusat hiburan keluarga, di sini juga terdapat ruang permainan untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun yang dinamakan Babyland selain ruang permainan arked Lucky Amusement Park. Bagaimanapun kedua-duanya masih dalam proses pembinaan.

“Apa yang menarik lagi adalah terdapat replika planet, angkasawan dan dekorasi angkasa lepas dan pengunjung boleh bergambar secara percuma,” katanya di sini, baru-baru ini.

Jelas beliau, dari segi bayaran untuk setiap permainan di premis yang beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, ia sangat berpatutan iaitu RM5 hingga RM15.

Katanya, pihaknya menyasarkan kehadiran lebih 1,000 pengunjung pada minggu-minggu pertama pembukaan.

“Harga yang ditawarkan memang sangat berpatutan terutama bagi mereka yang berkeluarga untuk menghabiskan masa yang terluang di sini,” katanya.