Malah, pentadbiran kerajaan negeri juga berjalan seperti biasa dan tidak terkesan dengan dakwaan tersebut yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, semua pihak tidak perlu membuat andaian sebaliknya perlu menunggu hasil siasatan.

"Buat masa ini tiada apa-apa (pentadbiran kerajaan negeri) yang terkesan. Malah jentera kerajaan negeri berjalan seperti biasa.

"Kita (barisan exco) masih menjalankan tugas dan terus mentadbir. Kita tunggulah hasil siasatan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat tapak masjid baharu Kampung Sri Jaya di sini hari ini.

Menurut Mohammad Nizar, isu berkenaan juga sama sekali tidak memberi impak pada kemasukan pelaburan asing ke negeri ini.

Ketika ditanya kemungkinan berlaku rombakan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkaitan isu tersebut, kata Mohammad Nizar, keputusan itu terletak sepenuhnya pada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

"Itu hak Menteri Besar untuk buat bergantung kepada keputusan beliau. Bagaimanapun, biasanya beliau perlu merujuk kepada Majlis Mesyuarat PH negeri sebelum memutuskan apa-apa," ujarnya.

Ahli Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong baru-baru ini didakwa merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Susulan itu, Ahmad Faizal dilaporkan berkata, Choo Kiong boleh dinasihatkan untuk bercuti atau dihadkan tugas sekiranya proses siasatan polis terhadapnya mengambil masa yang lama bagi memudahkan proses siasatan polis.

Pada Sabtu lalu pula, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari dikaitkan dengan tuduhan rasuah yang dilempar terhadapnya melalui laporan polis yang dibuat serta ditularkan dalam media sosial. - UTUSAN ONLINE