Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, konvoi bermotosikal itu melawat ke enam buah balai polis dan mengagihkan sebanyak 70 bungkusan makanan kepada anggota yang bertugas.

Katanya, enam balai yang dilawati dalam program tersebut ialah Balai Polis Bukit Merah, Lahat, Simpang Pulai, Tambun, Pekan Baru dan Sungai Senam.

“Program ini diadakan selain bertujuan meraikan Ramadan, kita juga mahu merapatkan silaturahim bersama anggota-anggota yang bertugas di lapangan pada sebelah malam.

“Kita mahu meraikan mereka ini yang ada antaranya bertugas membuat sekatan jalan raya dan rondaan cegah jenayah sama ada berkereta atau bermotosikal mahupun tanpa pakaian seragam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelepasan peserta konvoi Kembara Sahur di perkarangan IPD Ipoh di sini semalam.

Menurut Mohd. Ali, keadaan cuaca yang tidak begitu baik tidak menjadi halangan untuk mereka meneruskan program itu kerana diiringi oleh anggota trafik bagi memastikan kelancaran perjalanan.

Malah katanya, program seumpama itu juga akan diteruskan pada masa akan datang sebagai komitmen warga IPD Ipoh untuk turut sama bersengkang mata bersama anggota bertugas.

“Aktiviti melibatkan kumpulan bermotosikal kecil ini akan diteruskan lagi untuk program lain seperti cegah jenayah dan berjumpa orang ramai menerusi Program Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP),” katanya. - UTUSAN ONLINE