4 RAMD yang merupakan antara batalion infantri tertua dalam Tentera Darat ditubuhkan pada tahun 1949 dan mendapat gelaran Gurkha Malaya kerana kehebatan anggotanya yang diakui setanding dengan tentera-tentera Gurkha ketika itu.

Penaung Kelab Veteran 4 RAMD, Tan Sri Abdul Halim Karim berkata, kebanyakan veteran yang hadir pada majlis tersebut merupakan bekas pegawai dan anggota yang pernah berkhidmat sekitar tahun 1970an hingga 1980an iaitu ketika era Insurgensi.

Menurut beliau, majlis itu juga dianjurkan bagi mengeratkan lagi silaturahim antara para veteran pasukan berkenaan terutama yang menetap di sekitar bandar ini.

“Majlis iftar ini yang merupakan program tahunan kelab menjadi platform bagi kami berjumpa dan bertanya khabar sesama rakan-rakan seperjuangan.

“Selain itu, kita turut menyampaikan sumbangan kepada rakan-rakan veteran yang kurang bernasib baik dan dilanda musibah sebagai tanda ingatan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Abdul Halim yang bertugas di batalion berkenaan antara tahun 1975 hingga 1979 merupakan bekas ketua platun Risik Gempur semasa berpangkat Leftenan Muda.

Pada majlis itu juga, turut diadakan bacaan doa bagi memperingati rakan-rakan seperjuangan yang telah meninggal dunia termasuk terkorban semasa menjalankan operasi.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Veteran 4 RAMD, Ibrahim Ishak memberitahu, kelab berkenaan mempunyai keahlian seramai 800 orang yang terdiri daripada pelbagai peringkat.

“Ramai dalam kalangan veteran yang hadir pada majlis ini misalnya merupakan mereka yang berkhidmat ketika 4 RAMD berpangkalan di Kem Ashby Road di sini sekitar tahun 1970an.

“Selepas ini kita juga merancang untuk mengadakan majlis pertemuan semula bagi mengumpulkan lebih ramai rakan-rakan veteran 4 RAMD yang menetap di seluruh negara,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE