Pengarah urusan kumpulan HPI Resources Chang Kee Soon berkata kilang kedua bernilai RM45 juta itu dilengkapi mesin beralun canggih yang menggabungkan teknologi berkejituan tinggi dan mesin pembungkusan web.


Beliau berkata kilang kedua itu akan menggandakan kapasiti pengeluaran HPI di wilayah utara kepada 66,000 tan setahun daripada 36,000 tan metrik pada masa ini.


"Harta Perak merupakan pengeluar utama kotak tahan lasak dan kotak beralun tiga lapis di Malaysia sejak 2012. Menerusi HP2, pengeluaran akan dipertingkat lagi dengan keupayaan percetakan digital dan peralatan canggih untuk pembuatan kotak," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian HP2 oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Turut hadir presiden dan ketua pegawai eksekutif rangkaian perniagaan HPI, Oji Asia Packaging, Yasuo Nakanishi, dan Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Negeri Abdul Yunus Jamhari.


Chang berkata Harta Perak juga mengeluar kepingan slip, produk yang meningkatkan beban setiap kontena selain menangani kos pengasapan dan palet.


"Mesin pemotong menegak khusus diimport dari Jepun untuk meningkatkan ketepatan dimensi kepingan slip, memastikan kualiti tertinggi kepada pelanggan kami," katanya sambil menambah syarikat itu akan terus berada di hadapan bagi menawarkan perkhidmatan dan kualiti produk yang baik kepada pelanggan dan pada masa yang sama terus berharmoni dengan alam sekitar.


"Pada masa depan kami sudah membina kapasiti di seluruh Malaysia dan di Kemboja, dan pada masa yang sama mengeluarkan lebih banyak produk inovatif untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang," katanya.


HP1 yang terletak kurang dari satu kilometer dari HP2, dilengkapi mesin canggih yang dapat menghasilkan kotak beralun tiga lapisan atau kotak yang digunakan dalam industri solar, automotif, petrokimia dan elektronik, selain menghasilkan kotak dan kotak beralun satu dan dua lapis.


Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata perniagaan yang dijalankan oleh Harta Perak telah memenuhi aspirasi dan komitmen kerajaan dalam mengutamakan pemuliharaan alam sekitar.


"Falsafah syarikat dalam menegakkan kepentingan alam sekitar adalah selaras dengan komitmen kerajaan.


"Selain menggalakkan inisiatif perniagaan seperti ini, ia juga merupakan komitmen kerajaan untuk mewujudkan pekerjaan bagi penduduk tempatan serta pekerja asing," katanya. - BERNAMA