Hari ini, program yang ma­suk kali ke-39 itu diraikan lagi oleh lebih 9,000 pengunjung yang telah berkumpul seawal pukul 7 pagi di Jalan Raja Di Hilir di sini.

Rata-rata mereka kelihatan teruja dan tidak sabar untuk bersama-sama menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan dalam program yang bertemakan Hari Wanita Sedunia iaitu Seimbang Untuk Sejahtera.

Tema itu dipilih bagi merai­kan wanita di seluruh dunia yang menjadi tunggak dalam pembentukan keluarga yang penyayang dan pemangkin terhadap kemajuan negara.

Pelbagai aktiviti diadakan bersesuaian dengan tema dalam usaha memartabatkan golongan tersebut dan menge­nang jasa mereka dalam pembangunan bandar raya ini.

Setiausaha Bandaraya Ipoh, Mohd. Zakuan Zakaria berkata, program tersebut selain diadakan untuk mencapai objektif ke arah sebuah bandar sukan Ipoh, bandar rendah karbon dan meningkatkan indeks kebahagiaan,ia juga dapat memupuk kesedaran alam sekitar, kesihatan, keselamatan, sejarah dan warisan Ipoh dalam kalangan penduduk.

“Ia juga merupakan agenda perbandaran baharu bagi mempercepatkan pencapaian Sustainable Development Goals.

“Selain itu, kita turut me­raikan tema utama Hari Tanpa Kereta bulan ini iaitu Seimbang Untuk Sejahtera yang dipilih sebagai tema sambutan Hari Wanita Sedunia 2019,” kata­nya.

Program itu turut menarik minat pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Puspanita Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan negeri, Hospital KPJ, Perpustakaan negeri dan Perpustakaan Tun Razak.

Antara aktiviti disediakan adalah kayuhan wanita Jom Sihat, senamrobik, ce­ramah bertajuk Srikandi Dambaan Dunia dan Syurga, kuiz, demo masakan dan seni mempertahankan diri serta klinik bergerak.