Pengarah JBPM Perak, Datuk Yahaya Madis berkata, langkah itu bagi mengelakkan sebarang insiden pemalsuan dokumen bomba yang sememangnya berbeza dengan sijil perakuan asli.

Beliau berkata, tindakan individu tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan sijil tidak sah serta mengenakan caj servis yang tinggi, dikesan oleh pihaknya ketika melakukan pemeriksaan penghapusan bahaya kebakaran.

“Kebanyakan peniaga dan pemilik premis, kadang-kadang tidak perasan. Orang itu kata dia ejen bomba, dia sudah buat servis (alat pemadam api) dan hantar kepada bomba, kemudian dakwa bomba bagi resit dan dia letak kembali alat itu di tuan punya premis atau perniagaan.

“Namun, apabila kita kesan, pemilik premis baru perasan bahawa orang yang buat kerja ini tidak melalui bomba, tetapi mengeluarkan sijil sendiri,” katanya ketika ditemui selepas me­rasmikan perhimpunan bulanan JBPM Perak di sini, kelmarin.

Pada majlis tersebut, Yahaya turut menyampaikan hadiah bagi pertandingan kawad kecekapan serta anugerah hero bomba kepada anggota-anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar kerana berjaya menyelamatkan seorang remaja berusia 16 tahun dalam satu kebakaran rumah dua tingkat di Taman Kerian Permai, baru-bari ini.

Pada 10 Ogos lalu, Mahkamah Majistret Tapah menjatuhkan hukuman denda RM15,000 ke atas seorang pekerja hotel selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen bomba bagi kes yang pertama di ne­geri ini, pada Oktober tahun lepas.

Tertuduh didakwa menggunakan resit rasmi kerajaan dan pelekat JBPM yang ditampal pada dua alat pemadam api milik Chai Jye Niang, 41.

Pendakwaan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum menerusi Seksyen 465 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau ke­dua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, pemeriksaan bomba bagi satu alat pemadam api adalah tidak mahal iaitu masih mengekalkan kadar RM5 sejak sekian lama.

“Kita kadang-kadang dengar ada lagi individu terlibat tetapi tidak dapat dikesan, namun, sekurang-kurangnya apabila ada seorang telah dihukum, mungkin yang lain tidak berani untuk me­lakukannya,” katanya.