Penganjuran edisi ketiga itu nanti dijangka menarik seramai 330,000 pengunjung berdasarkan sambutan hebat pada dua edisi terdahulu.

Pengarah FAMA negeri, Idris Tahir berkata, kira-kira 1,000 usahawan akan mengambil bahagian pada acara yang diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam itu.

Menurut beliau, FAMA Fest ‘19 menampilkan kelainan apabila mengabungkan elemen industri tani, keusahawanan, pesta makanan, hiburan dan juga program riadah.

“FAMA Fest ‘19 merupakan platform pemasaran hasil tani serta meningkatkan pendapatan pengeluar-pengeluar produk yang banyak di Perak.

“Ia merupakan acara kemuncak FAMA dalam memberi pendedahan kepada para usahawan ini ke arah mempertingkatkan daya saing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar prapelancaran FAMA Fest ‘19 di Ibu Pejabat FAMA negeri di RTC Gopeng di sini hari ini.

Majlis perasmian festival ini nanti dijangka disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Idris memberitahu, sebanyak 88 tan pelbagai jenis buah-buahan bermusim seperti durian, cempedak, manggis dan rambutan akan dijual pada harga berpatutan.

Katanya lagi, pelbagai aktiviti turut diselitkan penganjur termasuk pertandingan BayBlade untuk kanak-kanak, persembahan busker dan juga E-Sport.

“Kita menyediakan zon makanan popular yang menyajikan 808 jenis makanan dan minuman termasuk dari negeri Johor, Sarawak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang serta food truck.

“Bagi orang luar Perak terutamanya di Lembah Klang dan Pulau Pinang, ini masa terbaik untuk datang berjalan-jalan ke Ipoh mengunjungi FAMA Fest ‘19,“ ujarnya. - UTUSAN ONLINE