Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah itu bagi mengurangkan kos pembabitan universiti tersebut untuk membuka kampus pertamanya di luar negara.

“Kita perlu faham bahawa universiti-universiti di Jepun tidak pernah membuka cawangan di luar Jepun.

“Ini adalah yang pertama dan kita agak teruja mengenainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat daripada Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, pertemuan itu antara lain turut membincangkan kemungkinan membangunkan pelabuhan di Bagan Datuk.

Menurut beliau, Makio telah menyampaikan hasrat kerajaan Jepun melalui Japan Overseas Infrastructure Investment Corporation for Transport & Urban Development (JOIN) untuk memberikan suatu dana supaya satu kajian kebolehlaksanaan dapat dilakukan membabitkan pembangunan pelabuhan tersebut.

“Selain itu, pihak pelabur dari Jepun juga tidak sabar untuk menandatangani persefahaman untuk memulakan projek perkampungan persaraan di Ulu Slim. Namun begitu, Perak mengambil pendekatan untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi memastikan kepentingan kerajaan negeri dan rakyat terbela.

“Berkenaan pembangunan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) pula, Duta Jepun turut memaklumkan mengenai kemungkinan rancangan untuk membuka Mitsui Outlet di sana,” katanya. - UTUSAN ONLINE