Dalam serbuan bermula kira-kira pukul 1.30 tengah hari, sebanyak tujuh unit logo halal, 20 kad nama mempunyai logo halal dan satu sijil halal premis yang telah tamat tempoh, disita daripada restoran berkenaan.

Ketua Seksyen Penguat kuasa PPDNHEP Perak, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, hasil keterangan awal daripada seorang lelaki bukan Islam mendakwa premis itu pernah memiliki Sijil Halal Malaysia sehingga Disember 2017.

“Namun begitu, pembaharuan sijil halal itu gagal diperoleh kerana pihak restoran didapati tidak memenuhi syarat ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Ahrazzuddin berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis pembekal makanan sejuk beku itu pula menjalankan perniagaan pembungkusan semula ke atas daging kambing dengan mempamerkan logo halal.

Bagaimanapun katanya, pengesahan awal oleh pegawai JAIPk menyatakan bahawa sijil halal dimiliki syarikat tersebut telah tamat tempoh pada Mac 2010.

“Sehubungan itu, kita telah menyita sebanyak 115 kilogram plastik pembungkusan dan dua bungkusan daging kambing mempunyai logo halal bagi tujuan siasatan,” katanya.

Kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 16 (1) Akta Perihal Dagangan 2011. - UTUSAN ONLINE