Pengarahnya, Azmi Osman berkata, notis tersebut dikeluarkan selepas pemeriksaan dijalankan terhadap 66 buah premis berkenaan dalam tempoh dua minggu ini.

Katanya, antara kesalahan yang dikesan dilakukan oleh pemilik premis ialah laluan kecemasan keluar dan tangga yang tidak mencukupi, laluan kecemasan dihalang dengan barang dan tanda tempat keluar kecemasan tidak berfungsi.

“Notis ini telah dihantar kepada pemilik pusat hiburan di mana kita memberi tempoh masa agar mereka dapat memperbaiki sistem kebombaan di premis masing-masing.

“Sekiranya mereka tidak memperbaiki dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan akan diambil terhadap pemilik premis berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan Pemeriksaan Pusat-pusat Hiburan Sempena Musim Perayaan di sebuah premis di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah di sini hari ini.

Menurut Azmi, pemeriksaan seumpama itu akan dilakukan secara berkala bagi memastikan aspek keselamatan pelanggan yang mengunjungi pusat hiburan diberi keutamaan oleh pemilik premis.

Katanya, berdasarkan pemantauan, kebanyakan premis hiburan tidak mementingkan aspek laluan kecemasan keluar dan ini menyukarkan pergerakan pengunjung sekiranya berlaku kejadian kecemasan.

“Kita mengharapkan pengusaha pusat hiburan dapat datang untuk berbincang dengan pihak bomba bagi mendapatkan pandangan dan pendapat berkaitan aspek keselamatan kebakaran.

“Langkah ini diambil kerana kita tidak mahu tragedi melibatkan kebakaran pusat hiburan yang pernah berlaku sebeum ini berulang lagi,” katanya.

Tambahnya, pengusaha pusat hiburan juga diminta agar memberi tunjuk ajar kepada kakitangan mereka berkaitan pelepasan diri apabila berlaku kes kebakaran.-UTUSAN ONLINE