Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bekalan air tersebut disalurkan melalui pemasangan paip sepanjang 11.5 kilometer serta pam penggalak baharu dari Loji Rawatan Air (LRA) Lawin.

Beliau berkata, bagi melaksanakan projek tersebut, Lembaga Air Perak (LAP) telah membelanjakan wang sebanyak RM1.32 juta.

“LAP telah berjaya menyiapkan projek ini dalam tempoh masa lima minggu dan ia dapat disiapkan lebih awal dari tempoh pemasangan yang dirancang.

“Jadi, dengan bekalan air yang diterima ini, penduduk tidak perlu lagi bimbang kerana ia selamat dan boleh digunakan untuk mandi, minum serta memasak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penjenamaan semula Digital Perak Corporation Holdings (DigitalPerak) hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim dan Ketua Pegawai Eksekutif DigitalPerak, Prof. Madya Dr. Mohammad Tazli Azizan.

Bekalan air ke Kampung Ayer Ganda sebelum ini terjejas berikutan pemberhentian operasi LRA Ayer Ganda atas arahan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ekoran dikesan mengalami masalah pencemaran arsenik.

Berikutan penutupan LRA Ayer Ganda, LAP telah membekalkan air terawat kepada penduduk kampung berkenaan melalui lori tangki dan tangki statik sebagai penyelesaian bagi tempoh jangka masa pendek. - UTUSAN ONLINE