Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, Muhammad Aidil Amsyar Muhammad Hafizuddin dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan setelah dikatakan terjatuh semasa memanjat jeriji tingkat bilik di rumah pengasuh berusia 24 tahun itu.

Katanya, bayi terbabit telah diberikan bantuan pernafasan dan oksigen selama satu jam di hospital berkenaan namun disahkan meninggal dunia pada pukul 9.40 pagi.

“Bayi itu dihantar ke rumah pengasuh pada pukul 7 pagi oleh ibunya sebelum wanita itu diberitahu yang anaknya berada di hospital oleh ibu kepada pengasuh terbabit yang datang ke tempat kerjanya dua jam kemudian.

“Pengasuh memberitahu wanita itu yang bayinya bukan sahaja tidak sedarkan diri selepas terjatuh malah tidak memberi sebarang tindak balas meskipun dipanggil,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika kejadian hanya pengasuh dan anaknya yang berusia 12 bulan bersama mangsa di rumah berkenaan.

Katanya, siasatan yang dilakukan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang tanda atau kesan yang boleh menjurus berlakunya perbuatan jenayah ke atas bayi berkenaan.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian bayi itu akibat masalah pada organ dalaman iaitu pankreas dan tiada unsur jenayah berlaku pada si mati.

“Jantung bayi itu juga tidak kelihatan normal kerana sedikit besar dan tidak seperti kanak-kanak seusia dengannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE