Mayat pesara guru berusia 66 tahun itu dijumpai dalam keadaan terlentang di bahagian pintu utama bilik rumah berkenaan oleh jirannya pada pukul 6.20 petang.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan bau busuk itu oleh jiran mangsa sebelum pihak polis ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan.

Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dengan keadaan fizikalnya telah membusuk dan kehitaman dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh lebih daripada tiga hari.

“Menurut jiran di sebelah rumah mangsa, dia terhidu bau busuk dari rumah wanita itu dan mengesyaki ada perkara buruk yang berlaku sebelum memanggil jiran-jiran yang lain untuk memeriksa keadaan di dalam rumah mangsa melalui tingkap.

“Jiran wanita itu kemudiannya mendapati mangsa telah meninggal dunia dan telah membuka pintu rumah wanita itu yang dikunci dari dalam,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa tinggal di rumah berkenaan seorang diri kerana anaknya sedang belajar di Shah Alam, Selangor.

Katanya, adik wanita itu memberitahu mangsa menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolestrol tinggi serta mendapat rawatan di klinik swasta di pekan Pengkalan Hulu.

“Punca kematian dipercayai berpunca daripada komplikasi penyakit tersebut dan kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya. - UTUSAN ONLINE