Dalam nahas pada pukul 6.35 pagi itu, pemandu ambulans, Mohd. Hafidz Mohd. Bahari, 37, dan seorang pesakit wanita, Azizah Dolah, 66, maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Zakaria Abd. Rahman berkata, kemalangan itu berlaku ketika ambulans berkenaan dalam perjalanan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh ke Hospital Slim River.

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas membabitkan sebuah ambulans
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas membabitkan sebuah ambulans di Kilometer 368.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN ONLINE/Ihsan JBPM

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, ambulans tersebut dipercayai hilang kawalan akibat tayar belakang sebelah kanan kenderaan itu pecah sebelum terbabas melanggar penghadang jalan dan terbalik.

“Akibat kemalangan itu, pemandu ambulans yang cedera di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pesakit wanita itu pula meninggal dunia kerana peralatan bantuan pernafasannya tercabut.

“Dalam kejadian itu, seorang doktor wanita dan jururawat tidak cedera manakala seorang pembantu pegawai kesihatan hanya mengalami luka-luka kecil,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zakaria, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat dan sampel darah mangsa akan diambil bagi ujian toksikologi. - UTUSAN ONLINE