Baru-baru ini tiga pelajar kolej itu dihantar mengikuti International Culture And Heritage Exploration Malaysia-Indonesia 2018 di Banda Aceh, Indonesia.

Pelajar yang terlibat ialah Mohd. Nur Sahrani Abdul Raof daripada program Operasi Perhotelan, Nur Shawatie Hidayah Abdullah dan Maisyakila Hamzah masing-masing daripada program Diploma Kulinari.

Ketiga-tiga pelajar tersebut merupakan pimpinan pelajar Pembim­bing Rakan Inspirasi Siswa Siswi (Priss) Kolej Komuniti Chenderoh.

Selain mereka, terdapat 20 pelajar lain dari kolej komuniti seluruh negara dipilih menyertai program tersebut.

Pegawai Psikologi Kolej Komuniti Chenderoh, Ermanormimi Ahmad Roosli berkata, program itu bagi menggalakkan perkongsian kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan aktiviti silang budaya antara warga Kolej Komuniti Malaysia dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Indonesia.

Katanya, ia juga merupakan platform kepada pelajar kolej komuniti untuk mendekatkan diri dengan masyarakat melalui aktiviti kesukarelawan dan kemasyarakatan.

“Lawatan ini memberikan impak yang tinggi dengan pelajar dapat berkongsi kemahiran dalam bidang inovasi dan perkongsian kemahiran TVET antara kedua-dua buah negara.

“Di samping itu, ia juga memberi pendedahan kepada pelajar tentang etika dan moral serta mempunyai tahap kerohanian yang tinggi.

“Ini kerana pelajar dapat berinteraksi dengan komuniti setempat serta mengenali budaya dan cara kehidupan mereka dari segi adat dan budaya sekali gus memupuk sifat prihatin dalam kala­ngan pelajar terhadap masyarakat luar,” katanya.

Menurut beliau, semasa berada di negara tersebut, pelajar dibawa melawat pelbagai tempat menarik antaranya Perkuburan Massal (mangsa Tsunami),

Muzium Tsunami Aceh, Kapal PLTD Apung, Makam Ulama Syech Abdurrauf As-Singkily, Masjid Raya Baiturrahman dan Masjid Rahmatullah di pantai Lampuuk.

“Apa yang lebih penting menerusi program ini dapat meng­eratkan silaturahim antara rakyat serumpun kedua-dua buah negara supaya dapat mengenali antara satu sama lain,” katanya.