Ahmad, 82, anak jati Semanggol yang juga Timbalan Pengerusi Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia cawangan Malaysia dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri manakala Lat, 67, yang terkenal dengan karya ‘Kampung Boy’ diumum sebagai Tokoh Ar Ridzuan.

Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi, sijil penghargaan dan pakej menunaikan umrah yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Turut berangkat pada program itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Ahmad yang aktif dalam politik bermula sekitar 1984, pernah menerajui Persatuan Ulama Malaysia sebagai Presiden selama kira-kira 17 tahun dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan lebih 20 tahun.

Beliau juga pernah berkhidmat di Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sementara, Lat yang merupakan anak kelahiran Kampung Lalang, Gopeng dekat sini telah menerbitkan lebih 20 jilid kartun sejak berusia 10 tahun sehinggakan karya ‘Kampung Boy’ yang diterbitkan pada 1979 membawa nama Malaysia ke serata dunia. - UTUSAN ONLINE