Inisiatif diambil itu menjadikan MPKK sebagai PBT ketiga di negeri ini yang berbuat demikian selepas Majlis Perbandaran Taiping dan Majlis Perbandaran Manjung.

Yang Dipertua MPKK, Datuk Shahrom Abdul Malik berkata, langkah itu selari dengan usaha untuk memantapkan perkhidmatan kepada rakyat.

“Sebagai ahli majlis, perencanaan IBR ini penting kerana perkhidmatan mereka sering terdedah kepada pelbagai bentuk rasuah seperti permohonan tender, kelulusan projek dan lain-lain.

“Oleh itu, kita mengharapkan kerjasama semua pihak bagi menangani segala bentuk jenayah rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani IBR tersebut yang diadakan di Wisma MPKK di sini semalam.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Ahmad Shukri Mohamad Taib.

Sementara itu, Ahmad Shukri mengingatkan pentadbiran organisasi tidak kira di pihak kerajaan mahupun swasta, akan lumpuh disebabkan oleh amalan rasuah dalam kalangan kakitangannya.

Sehubungan itu katanya, adalah penting untuk mencegah sebarang kegiatan tersebut daripada terus menular kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan produktiviti, malah kualiti perkhidmatan.