Penolong Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Zabri Abd. Wahid berkata, benih-benih tersebut telah dilepaskan di beberapa kawasan termasuk yang terlibat dalam program Pemukiman Menteri Besar iaitu Bagan Datuk, Perak Tengah dan Hilir Perak serta program-program kecil lain yang melibatkan jabatan tersebut.

Zabri berkata, benih udang galah tersebut dilepaskan dalam usaha membanyakkan lagi hasil perikanan di sungai berkenaan untuk manfaat penduduk setempat khususnya lebih 2,000 golongan nelayan darat di negeri ini.

“Benih-benih udang galah ini lepaskan dari semasa ke semasa bagi memastikan udang galah sentiasa ada dalam sungai ini.

“Ini amat penting untuk memastikan nelayan darat sentiasa mendapat hasil yang baik. Namun, saya amat berharap semua penduduk yang tinggal berdekatan sungai memainkan peranan untuk menjaga sungai daripada tercemar.

“Begitu juga kilang-kilang, jangan buang sisa-sisa dalam sungai. Ini akan menyebabkan hasil perikanan mati, sekali gus mengakibatkan pendapatan nelayan terjejas,” katanya dalam sidang akhbar selepas melepaskan 112,000 benih undang galah di Jeti Nelayan Kampung Durian Sebatang, dekat sini kelmarin.

Program tersbeut adalah sempena Program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak yang berakhir Sabtu ini.

Yang turut hadir Pengarah Perikanan negeri, Dr. Bah Piyan Tan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin.

Sementara itu, Zabri berkata, dianggarkan hanya 30 peratus daripada 112,000 benih udang galah yang dilepaskan di Kampung Durian Sebatang tersebut akan hidup dan membesar.

Katanya, undang-undang berkenaan dijangka boleh ditangkap oleh nelayan di sekitar sungai tersebut dalam tempoh empat hingga lima bulan lagi.

“Dianggarkan sebanyak 8,400 kilogram undang galah dapat ditangkap nelayan hasil daripada benih yang kita lepaskan ini yang dijangka mampu menjana pendapatan kira-kira RM420,000.

“Itu adalah anggaran paling rendah yang kita buat. Bayangkan jika jumlah peratusan udang galah hidup lebih tinggi, nelayan mampu menjana pendapatan le­bih lumayan,” katanya.