Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, ini akan dicapai dengan penggunaan teknologi pertanian moden.

Menurut beliau, peningkatan hasil padi merupakan antara sasaran kerajaan negeri untuk menambah hasil pertanian tanpa mengabaikan hasil tani yang lain.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian amat komited dalam membangunkan industri pertanian negeri.

“Peruntukkan yang disediakan di sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 merangkumi program pengembangan dan pembangunan projek-projek pertanian termasuk sayur-sayuran, tanaman kekal dan pengeluran makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peladang daerah Kerian di sini baru-baru ini.

Saarani berkata, Daerah Kerian antara yang diberi tumpuan dalam pembangunan pertanian kerana merupakan kawasan yang padat dengan aktiviti pertanian.

Menurut beliau, 94 peratus aktiviti pertanian di daerah ini ialah tanaman padi, melibatkan kawasan seluas 20,792 hektar dan 8,237 pesawah.

Kata beliau, 45 peratus daripada keluasan padi di negeri ini terletak di daerah Kerian dan menjadi penyumbang utama keperluan padi di negeri ini.

"Daerah Kerian menghasilkan 121,000 metrik tan beras atau 51 peratus daripada jumlah yang dihasilkan di negeri ini dengan puarata 4.5 metrik tan sehektar," katanya.

Saarani menambah, kerajaan negeri turut membantu rakyat mengurangkan kos belanja dapur rakyat menerusi program 'tanam Apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam’.

Beliau berkata, menerusi program itu rakyat digalakkan melakukan aktiviti pertanian secara kecil-kecil dengan menamam sayur di sekeliling rumah.

“Sayur yang ditanam sendiri ini boleh digunakan untuk keperluan seharian. Cara ini bukan sahaja menjimatkan belanja dapur tetapi juga mendapat sayur yang segar,” katanya.