Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia meliputi projek pembinaan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk bernilai RM138 juta, persimpangan bertingkat dari FT005 ke FT009 Hutan Melintang, Bagan Datuk (RM 144.4 juta) dan naik taraf laluan 69 dari Parit 19, Hutan Melintang ke Pekan Bagan Datuk (RM 529 juta).

“Seperti yang kita sedia maklum, berdasarkan pada surat Kementerian Kewangan bertarikh 29 Jun 2018, projek-projek yang belum dikeluarkan Surat Setuju Terima adalah dibatalkan pelaksanaannya.

“Perincian projek ini bagaimanapun akan saya maklumkan secara bertulis dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) yang meminta kerajaan negeri memaklumkan projek-projek pembangunan di Bagan Datuk yang terbatal dan akan diteruskan ekoran ia gagal disenaraikan sehingga ke hari ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, sebanyak 11 projek bagaimanapun akan diteruskan di bawah RMK-11 melibatkan kos sebanyak RM1.049 bilion.

Beliau berkata, projek-projek utama itu antara lain meliputi pembinaan Politeknik Bagan Datuk (RM 220 juta), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk (RM 130 juta) dan Kompleks Sukan Bagan Datuk (RM 39.4 juta).

Selain itu katanya, di bawah peruntukan khas, terdapat tujuh projek bernilai RM21,554,000 diteruskan pelaksanaannya manakala 25 projek lagi bernilai RM12,032,500 telah ditangguhkan.

“Kerajaan negeri tidak meminggirkan pembangunan di mana-mana daerah dan setiap projek perlu dikaji atas keperluan dan implikasi kewangan,” katanya. - UTUSAN ONLINE