Anugerah Inovasi Terbaik dan Anugerah Harta Intelek UUM bagi Projek A Method Extracting Saponins From Sintok (Entada Spiralis) Stem Bar itu disampaikan oleh Pro Canselor UUM, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Risyawati berkata, produk inovasi daripada ekstrak akar sejenis pokok memanjat, sintok itu diformulasikan daripada kajian yang dijalankan mengenai kesan bahan aktif daripada tumbuhan itu ke atas beberapa jenis penyakit  kulit akibat jangkitan bakteria.

Katanya, penyakit kulit direkodkan sebagai salah satu masalah kesihatan yang menyebabkan ketidakupayaan kepada penghidapnya di negara ini.

“Penggunaan antibiotik ber­lebihan tanpa aturan jelas daripada doktor perubatan menyebabkan terhasilnya bakteria rintang seperti Methicillin Resistant Staphylococcus Aureus (MRSA) terhadap penyakit tersebut. 

“Oleh itu, penyelidik mencari alternatif baharu untuk menyelesaikan masalah ini daripada hasil alam semula jadi tanpa bahan kimia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, sintok telah lama digunakan oleh generasi terdahulu sebagai sabun dan syam­pu. 

“Hasil daripada penyelidikan ini, sebanyak tujuh jenis produk kosmeseutikal yang antaranya terdiri daripada sabun pepejal, cecair mandian sabun, syampu dan pelembap telah dihasilkan.

“Produk ini dikomersialkan dan menunjukkan kesan positif terhadap pengguna dalam me­rawat penyakit kulit seperti ekzema, psoriasis, kegatalan dan jangkitan bakteria,” katanya.

Mengulas lanjut, Risyawati memberitahu, anugerah itu sebagai bonus selain dapat membantu UUM dari segi penyelidikan berimpak tinggi terutamanya dalam konteks pemarkahan Malaysia Research Assessment (MyRA). 

“Memandangkan UUM me­rupakan Universiti Pengurusan, untuk mendapat paten merupakan suatu cabaran bagi kita, oleh itu semua staf yang berkemampuan dari segi kepakaran teknikal atau berkemampuan menghasilkan produk patut berusaha mendapatkan paten dalam membantu melonjakkan nama universiti kita.

“Kemampuan penyelidikan dan penerbitan adalah sangat kritikal kepada UUM terutama­nya bagi menarik koloborasi daripada pihak industri, kerjasama bersama universiti terkemuka dunia dan juga menarik pelajar pasca siswazah untuk datang dan meneruskan pengajian di UUM,” katanya.