Pengerusi Persatuan Penjaja Little India, G. Gunasegaran berkata, tindakan pihak berkuasa tempatan itu menyita barangan penjaja dengan alasan mereka ingkar untuk berpindah ke lokasi baharu sebagai tidak adil.

Menurutnya, lokasi baharu yang terletak di Kompleks Tun Sambathan itu kurang dikunjungi dan tentu sekali menjejaskan perniagaan mereka.

“Saya mewakili penjaja lain merayu agar DBKL memberi pe-luang kepada kami untuk meneruskan perniagaan sementara di sini sepanjang musim perayaan nanti.

“Kesemua penjaja terlibat sudah hampir 30 tahun menjalankan perniagaan di kawasan ini. Jika berpindah sudah tentu ia memberi kesan kepada mereka,” katanya ditemui Utusan Malaysia ketika sesi lawatan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di lokasi tersebut di sini.

Sementara itu, Raja Nong Chik berharap DBKL mempertimbangkan semula rayuan tujuh penjaja terlibat agar membenarkan mereka beroperasi di lokasi sama sepanjang tempoh musim perayaan Deepavali.

Menurutnya, penjaja-penjaja berkenaan terdiri daripada pelbagai kaum yang menjalankan perniagaan menjual makanan dan minuman.

“Jika DBKL membenarkan penjaja meneruskan operasi perniagaan di lokasi sama sepanjang musim perayaan ini, sekurang-kurangnya mereka boleh menjana pendapatan lebih sebelum berpindah ke lokasi baharu,” katanya.

Utusan Malaysia difahamkan, sebanyak empat notis arahan pindah dikeluarkan DBKL sejak akhir tahun lalu kepada penjaja terlibat.