Pengorbanan bapa tunggal kepada dua anak itu nyata tidak sia-sia apabila anak sulungnya, Chiang Wai Cheng, 19, meraih keputusan cemerlang 6A 3B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Dalam peperiksaan itu, Wai Cheng memperoleh A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Sains dan Perdagangan manakala B+ untuk Matematik, Pendidikan Seni Visual dan Bahasa Cina.

Menurut Wan Marn, sejak kematian isterinya, Ng Wei Ying, dia mengambil alih sepenuhnya tugas menjaga Wai Cheng dan adiknya, Chiang Wai Khang, 16, yang ma­sing-masing menghidap penyakit Duchenne Muscular Dystrophy.

Katanya, rutin hariannya bermula seawal pagi bagi menguruskan dua beradik yang menggunakan kerusi roda itu untuk dihantar ke sekolah mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Rambutan.

“Menjaga anak cacat bukan kerja senang tambahan lagi doktor beritahu yang umur anak saya tidak panjang dan mereka dijangka hanya hidup sehingga berusia lingkungan 20-an sahaja.

“Bagaimanapun kami tidak berputus asa. Ini takdir tuhan dan kami terima. Hari ini saya gembira dan berpuas hati apabila Wai Cheng memperoleh keputusan cemerlang.

“Kejayaan ini adalah atas usaha dia sendiri kerana dia sangat bekerja kuat untuk berjaya. Saya mahu dia berjaya mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang pereka hiasan dalaman,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan SPM 2016 di sini hari ini.Sementara itu, Wai Cheng berkata, dia berasa sangat gembira walaupun tidak menjangkakan memperoleh keputusan sebaik itu sekali gus menerima Anugerah Kecemerlangan SPM 2016 bagi kate­gori Calon Berkeperluan Khas.

Katanya, tiada rahsia kejayaan yang diamalkannya selain banyak menggunakan laman Youtube untuk mengulang kaji pelajaran.