Menurutnya, dia tidak berniat untuk menyinggung sensitiviti agama dan budaya menerusi tajuk itu, namun menegaskan dalam industri kreatif, insiden seperti memilih tajuk berkenaan tidak dapat dielakkan.

Tambahnya, seperti karyanya di Penangpac sebelum ini yang dipentaskan sejak empat tahun lalu, 'Sex In Georgetown City' adalah berniat untuk mendidik orang ramai mengenai isu-isu sosial dengan cara yang menghiburkan dan memberi maklumat.

"Saya faham dan bersetuju tajuk pilihan saya bagi persembahan kali ini mengelirukan dan sehubungan itu, saya telah mengubahnya kepada '3 in Georgetown City'," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Fa berkata, persembahan teater tersebut membahaskan isu-isu sosial yang memberi kesan kepada masyarakat dan negara termasuk hubungan antara kaum, perkauman, pedofilia, kahwin bawah umur dan kecurangan.

Jelaanya, persembahan tersebut tidak menyimpang atau eksploitatif, sebaliknya mencerminkan cabaran dan kebiasaan dalam budaya masyarakat Malaysia. 

"Daripada pengalaman saya, kesemua karya saya menerima maklum balas yang sangat positif.

"Ia juga menghasilkan perbualan dan perbahasan yang sihat dalam kalangan ahli masyarakat. Dengan penerangan ini, saya amat berharap salah faham ini dapat diselesaikan," katanya.

Jelasnya, dia akan mendapatkan nasihat dan panduan dari Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman terlebih dahulu sebelum mengadakan persembahan di Pulau Pinang selepas ini.

"Sekali lagi saya mohon maaf  kerana kesulitan yang timbul kerana tajuk teater saya yang mengelirukan banyak pihak," katanya.

Awal hari ini, pengguna di dalam media sosial dikejutkan dengan poster sebuah teater yang bertajuk 'Sex In Georgetown City' yang akan dipentaskan di Pentas 2 Penangpac, Straits Quay di Tanjung Tokong di sini.

Teater itu mendapat kecaman dan bantahan banyak pihak antaranya Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq) yang berharap tindakan dapat diambil bagi mengelak persembahan teater itu. 

Wafiq dalam salam satu kenyataan hari ini berkata, bantahan itu berikutan teater sketsa pendek itu didakwa menghimpunkan cerita kemasyarakatan, perhubungan suami isteri, perbualan seks di atas ranjang serta persahabatan  di luar tabie. 

"Teater itu juga mengenakan syarat had umur 16 tahun ke atas sekali gus memberi konotasi seksual.

Dari tarikh yang dicadangkan adalah bersempena Hari Kekasih. Tema seks bebas melalui paparan ranjang ini adalah cubaan bagi menormalisasikan budaya seks bebas dan seks songsang tanpa ada rasa malu kepada muda mudi," kata kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE