Jelas penduduk, meskipun tanah kampung mereka sudah diwakafkan dan perlu keluar dari kawasan berkenaan, namun perkara itu sepatutnya dilakukan dengan lebih bertanggungjawab.

Wakil penduduk terlibat, Mohd. Faris Ahmad Nahar, 30, berkata, pertikaian penduduk berlarutan sejak 1997 dan terbaharu penduduk mendapat notis mengosongkan rumah masing-masing pada 16 Mac lalu serta perlu berpindah selewat-lewatnya 10 April ini.

“Kami telah menduduki tanah ini sejak turun-temurun malah kebanyakan penduduk yang masih tinggal di atas tanah wakaf ini ada daripada generasi ketiga dan keempat penduduk asal di kampung ini.

“Kami berharap pihak berwajib khususnya kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dapat membantu penduduk yang mahukan pembe-laan sewajarnya serta datanglah berbincang dengan penduduk kampung,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambah beliau, setakat ini penduduk dijanjikan rumah ganti dan pampasan bernilai RM7,500 sekiranya mengosongkan tanah terbabit tetapi sehingga kini tiada sebarang perjanjian atau dokumen yang diberikan kepada mereka.

Tambahnya, pihak terlibat juga menjanjikan rumah ganti dan pampasan RM4,000 kepada penduduk apabila berpindah keluar dan baki RM3,500 lagi diberikan ketika penduduk berpindah ke rumah baharu.

“Namun semua ini adalah janji mulut. Kami mahu ada jaminan sebelum bersetuju untuk berpindah, malah sehingga kini juga tiada sebarang pelan perancangan pembangunan yang dikemukakan kepada penduduk,” ujarnya.

Bagi Muhamad Amin Abdul Rahmah, 42, yang juga pewaris sah pewakaf tanah berkenaan, dia kesal percubaan menghalau penduduk daripada rumah masing-masing dan berharap perbincangan bersama dapat diadakan pihak terlibat bersama penduduk.

Tambahnya, penduduk berharap pertikaian tanah itu diselesaikan dengan cara adil memandangkan tiada jawapan konkrit diberikan pihak terlibat.

“Sepatutnya mereka juga mempertimbangkan nasib kami sekiranya mahu diarahkan berpindah dari tanah yang telah diduduki sejak sekian lama ini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MAINPP, Datuk Mohd. Salleh Man ketika dihubungi berkata, perancangan membangunkan tanah wakaf terbabit mengikut prosedur dan undang-undang.

“Kita mahu bangunkan penempatan di kawasn tanah terbabit dan apabila projek itu siap nanti, keutamaan akan diberi kepada penduduk di situ untuk memiliki rumah.

“Tidak timbul soal mahu mengambil alih tanah terbabit memandangkan tanah berkenaan adalah milik MAINPP dan perancangan pembangunannya demi kelangsungan umat Islam,” katanya.