Mohamad Alif Aiman Anuar, 21, yang juga bekerja sebagai tukang paip dibawa masuk ke dewan bedah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada pukul 9.20 malam tadi dan keluar dari dewan berkenaan pada pukul 5.40 pagi ini.

Ibunya, Hashimah Mahmood, 49, berkata, mereka dimaklumkan doktor bahawa beberapa bahagian saraf Mohamad Alif Aiman rosak selain salah satu urat nadinya putus akibat tembakan terbabit.

“Alif (Mohamad Alif Aiman) dilihat berada dalam keadaan stabil dan mengadu kepada saya sakit di tangan kirinya selain merasa kebas-kebas jari, saya beri dia semangat supaya tak fikir bukan-bukan dan beritahu itu hanya kesan selepas pembedahan.

“Doktor juga maklumkan selepas lima hari ini, anak saya mungkin akan menjalani satu lagi pembedahan. Malah, tangannya juga belum dijahit sepenuhnya kerana bimbang ada jangkitan kuman,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi semalam, Mohamad Alif Aiman yang sedang membonceng motosikal ditunggang oleh rakannya untuk ke tempat kerja mereka di Alor Mengkudu ditembak anggota trafik ketika cuba memberhentikan motosikal itu di tempat kejadian.

Mereka dikatakan melanggar sebuah lampu isyarat menyebabkan anggota polis trafik yang kebetulan berada di tempat tersebut bertindak mengejar kedua-duanya.

Tambah Hashimah, doktor tidak membuang serpihan tulang yang hancur pada tangan kiri Mohamad Alif Aiman kerana bimbang akan merosakkan saraf lain.

“Doktor berpesan supaya tidak berlaku jangkitan kuman kerana ia boleh menyebabkan risiko lain termasuklah kemungkinan anak saya cacat.

“Malah,buat masa ini hanya ibu bapa sahaja yang boleh berada berdekatan Alif, jadi saya harap orang ramai faham dengan keadaan anak saya,” katanya. -UTUSAN ONLINE