Masjid baharu ini yang terletak hanya 300 meter dari kedudukan masjid sedia ada dijangka boleh memuatkan kira-kira 700 orang jemaah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, peruntukan sebanyak RM3 juta bagi kos keseluruhan projek itu juga telah diluluskan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri mencadangkan agar pembinaan masjid itu nanti menggunakan rekebentuk yang dicadangkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

“Kita mencadangkan pembinaan sebuah masjid berbentuk empat segi tanpa kubah menggunakan rekabentuk sedia ada yang telahpun dibina pihak JKR di tempat lain.

“Ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos kerana menggunakan kepakaran arkitek JKR malah dapat memendekkan jangkamasa pembinaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau tapak pembinaan masjid baharu Kampung Changkat Larang di sini hari ini.

Mohamad Nizar turut diberi taklimat tentang perancangan pembinaan masjid itu oleh Jurutera Awam Penguasa JKR Perak, Muhammad Harridzan Abdullah.

Apabila siap kelak, ia bagi menggantikan masjid sedia ada berusia 85 tahun yang hanya boleh menampung seramai 300 orang jemaah.

Selain memberi keselesaan, masjid baharu ini akan dibina di sebidang tanah wakaf seluas kira-kira 0.93 hektar manakala tapak masjid sedia ada adalah tapak tanah wakaf perkuburan Islam.

Mengulas lanjut kata Muhammad Nizar, masjid baharu yang bakal dibina itu nanti bukan sahaja selesa dan bersesuian tetapi juga tidak memerlukan kos senggaraan yang tinggi.

Sementara itu, Muhammad Harridzan memberitahu, kerja-kerja pembinaan dijangka bermula awal tahun depan sebaik proses membabitkan urusan tanah termasuk kelulusan jalan masuk ke lokasi masjid baharu diputuskan. - UTUSAN ONLINE