Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud berkata, kecintaan terhadap seni dan budaya bukan sahaja dapat membina jati diri tetapi sebagai elemen penyatuan dalam masyarakat.

“Hal demikian kerana ia mempertemukan masyarakat di pelbagai peringkat usia yang berkumpul beramai-ramai untuk mempelajari atau melihat seni ini sekali gus dapat mewujudkan penyatuan yang utuh dalam kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pertunjukan wayang kulit Kumpulan Sri Gabungan Bandar Baru Jaya Gading dan Seni Tari Silat Sepelek anjuran Klinik Saidi dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis di Kampung Jaya Gading di sini malam tadi.

Yang hadir sama pemilik Klinik Saidi, Dr. Boi Saidi Abdul Razak.

Sementara itu, Boi Saidi berkata, pihaknya menganjurkan program itu antara lain kerana mahu memartabat dan menyuburkan warisan orang Melayu.

“Program seperti ini bermanfaat dan dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk.

“Kita akan berusaha menganjurkan pelbagai program dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Pulau Manis berdasarkan kesesuaian di kawasan yang dikenal pasti,” katanya. - UTUSAN ONLINE