Hakikatnya peluang membawa rombongan sekeluarga melancong ke luar negara bukan sesuatu yang mudah apatah lagi memerlukan pe­rancangan yang terperinci dan kos yang tinggi.

Sering kali juga, perancangan untuk ke luar negara yang diatur sekadar tinggal angan-angan. Setiap hujung minggu hanya berlalu tanpa sebarang pengisian. Penyudahnya, anak-anak yang saban hari berharap masih terperap di rumah.

Namun bagi yang kreatif dalam mengatur pengisian aktiviti keluarga, kehidupan di ibu kota atau di kawasan pinggirnya menawarkan pelbagai tarikan menarik yang tidak memerlukan modal besar bahkan ada yang boleh dinikmati secara percuma.

Di ibu kota misalnya terdapat banyak tarikan seperti pusat kebudayaan, muzium, tugu peringatan, taman haiwan, galeri dan tarikan alam semula jadi. Bagi ibu bapa yang sudah separuh usia, tempat-tempat seperti itu mungkin membosankan tetapi bagi kanak-kanak, ia pasti pe­ngalaman yang berharga.

Bahkan ramai yang tidak menyedari kebanyakan lokasi di Kuala Lumpur yang suatu ketika dahulu kotor dan tercemar kini bertukar menjadi tarikan pelancong.

Selain itu, kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan membe­lanjakan jutaan ringgit setiap bulan untuk menganjurkan program yang memberi fokus kepada aspek keceriaan dan kesejahteraan kepada lebih empat juta penduduk ibu kota.

Dan sememangnya terbukti, kemeriahan pelanco­ngan acara yang bertemakan bidang ter­tentu menyumbang kepada peningkatan ranking Kuala Lumpur sebagai antara bandar paling dikunjungi di dunia.

Perkara yang sama juga berlaku di Putrajaya yang mengguna pakai konsep pelancongan acara sebagai tarikan utama di pusat pentadbiran kerajaan pusat itu.

Penganjuran pelbagai akti­viti­ pada setiap minggu termasuk acara bertaraf antarabangsa sekali gus melenyapkan imej Putrajaya sebagai ‘bandar mati’ seperti yang pernah dikenali suatu ketika dahulu.

Namun apa erti semua kemudahan yang disediakan itu jika tidak dinikmati sepenuhnya oleh kita rakyat Malaysia.

Dengan segala maklumat yang tersedia di hujung jari, kini semua semakin mudah.