Kesempatan cuti panjang seperti ini pasti tidak akan dilepaskan warga kota untuk pulang ke kampung dan tidak kurang juga yang keluar bercuti.

Tak kira ke mana destinasi yang dituju, semua tidak akan terlepas daripada kesesakan trafik. Penulis sendiri pernah memandu selama 16 jam dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

Tertekan, itu sudah pasti. Tapi hati lebih marah apabila melihat percampuran trafik antara kenderaan biasa dengan kenderaan berat, sedangkan larangan kepada kenderaan jenis itu dikuatkuasa setiap kali musim perayaan.

Mereka seolah-olah langsung tidak menghormati undang-undang dan hak pengguna jalan raya lain.

Pada tahun ini, larangan yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia ditetapkan pada 2,3,4, 9 dan 10 Februari. Namun kita yakin, larangan itu pasti umpama ‘tidak wujud’.

Bahkan setiap kali musim perayaan, itulah persoalan yang sering timbul dalam kalangan pemandu; Kenapa masih ada lori di lebuh raya?

Untuk mengatakan penguatkuasaan kurang tegas mungkin tidak adil, kerana kita tahu kesanggupan mereka (pemilik lori) untuk membayar berapa sahaja harga saman yang dikenakan asalkan urusan tidak tergendala.

Dan jika penguatkuasaan telah dilakukan dengan baik, jumlah saman yang setakat beberapa ratus ringgit itu juga mungkin belum memadai untuk menginsafkan mereka.

Dan kenapa tidak kesalahan yang mengganggu gugat kepentingan awam itu dima­sukkan ke dalam senarai ke­salahan saman mandatori atau lebih berat.

Bahkan jika diperhalusi, pengecualian larangan berada di lebuh raya bagi lori-lori penghantar barangan keperluan harian sekali pun sudah tidak relevan kerana urusan itu boleh diselesaikan lebih awal. Kecualilah yang melibatkan penghantaran mendesak se­perti barangan perubatan.

Apa pun alasannya, pe­nguatkuasaan larangan ini perlu dipatuhi kerana ia bukan sahaja bertujuan mengelak kesesakkan bahkan melindungi keselamatan pengguna jalan raya umumnya.

Kerana bukan sekali kita dengar kemalangan melibatkan kenderaan berat yang berpunca daripada kegagalan fungsi brek, hilang kawalan, tayar pecah dan sebagainya.

Itu belum lagi mengambil kira nyawa-nyawa penunggang motosikal yang telah banyak melayang akibat terlanggar lori yang berhenti di lorong kecemasan.