Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika memberi jaminan itu berkata, beliau telah 
memaklumkan perkara itu kepada Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya untuk 
tindakan selanjutnya demi kepentingan rakyat.

Beliau tidak menolak kemungkinan menggunakan kaedah atau pendekatan memanggil petugas 
kaunter menyertai kursus yang menjurus kepada tatacara serta layanan terbaik kepada 
pelanggan.

"Saya sudah maklumkan kepada SUK (A. Rahman) supaya khidmat atau petugas kaunter 
seumpama ini perlu dilatih, bukan jabatan ini saja tapi semua kaunter di seluruh Terengganu.

"Cara mana kita akan tengok lah nanti, mungkin kita akan panggil mereka sertai kursus tatacara 
layanan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis 
penyampaian Anugerah Sarjana Terengganu 2018 di Duyong Marina & Resort di sini hari ini.

Beliau mengulas luahan seorang pelanggan menerusi status Facebooknya sehingga viral dalam 
laman sosial semalam gara-gara tidak puas hati dengan layanan petugas kaunter sebuah jabatan 
kerajaan negeri ini yang disifatkannya kasar dan tidak beradab. - UTUSAN ONLINE