Pemangku Raja Pahang, Teng­ku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, selain itu, umat Islam juga tidak boleh mengabaikan agama tersebut atas nama pemodenan dan memenuhi falsafah gaya hidup ciptaan manusia.

“Kerajaan negeri perlu me­ngambil tindakan tegas dan proaktif dalam mengekang cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam.

“Permusuhan dan perpecahan akan berlaku apabila wujudnya ajaran serta fahaman yang boleh menggugat akidah umat Islam khususnya di negeri ini,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Masjid Sultan Ahmad 1 di sini hari ini.

Kira-kira 2,000 umat Islam hadir pada majlis berkenaan yang bertemakan Menyantuni Umat Membawa Rahmat.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.

Pada majlis berkenaan, bekas Dekan Pengajian Islam, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Datuk Dr. Ahmad Munawar Abdul Jalil, 60, dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang dan menerima wang tunai RM10,000 selain trofi berserta sijil.

Ahmad Munawar yang merupakan anak kelahiran Kampung Paya Bungur, Maran berkata, penganugerahan tersebut merupakan penyunting semangat da­lam usaha dakwahnya meskipun telah bersara dalam bidang pendidikan.

Jelasnya, sambutan Maal Hijrah tahun ini merupakan satu titik perubahan bagi metakkan darjat Islam di aras yang tinggi.

“Apa yang berlaku hari ini masyarakat Islam seluruh dunia dalam keadaan yang tidak menentu. Oleh itu hijrah kali ini diharap dapat mendidik mereka untuk kembali mengangkat ke­gemilangan Islam,” katanya.