Bukan sekali, sebaliknya enam kali baginda menghadapi keguguran sepanjang 16 kali melalui proses rawatan kesubu­ran, termasuk persenyawaan tabung uji (IVF) serta Intra-cytoplasmic sperm injection (ICSI) dan terpaksa menanti kira-kira 10 tahun untuk kelahiran cahaya mata.

Saerah Ali, 85, yang berkhidmat dengan Tunku Azizah sejak 1986 hingga kini, berkata, walaupun Tunku Azizah berdepan dengan ujian dalam mendapatkan zuriat, beliau tidak pernah sesekali melihat baginda berputus asa.

“Keguguran pertama berla­ku semasa kandungan sudah berusia dua atau tiga bulan. Tuanku kuat menghadapi ujian itu sehingga kami yang bekerja di samping baginda yang bimbang bagaimana caranya hendak menceriakan baginda.

“Baginda menyibukkan diri dan tidak mahu duduk sahaja semasa dalam pantang. Meman­dangkan baginda tidak boleh banyak bergerak, baginda menitahkan supaya kerja yang perlu dilakukan, dibawa kepada baginda supaya boleh dilakukan di katil,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Saerah, yang merupakan satu-satunya daripada ‘the golden girls’ tiga pembantu asal Tunku Azizah yang masih tinggal menambah, perkara itu tidak asing kerana Tunku Azizah seme­mang­nya dikenali sebagai seorang yang aktif.

Ujian yang dihadapi dalam mendapatkan zuriat dan pe­ngalaman menjalani rawatan kesuburan, memberi ilham kepada Tunku Azizah untuk menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) pada Ogos 2004 bagi membantu wanita-wanita yang melalui du­gaan seperti baginda.

Setiausaha Agung TAFF, Datuk Hamimah Abdul Karim berkata, setakat ini, TAFF telah melahirkan 115 anak yang digelar baginda sebagai ‘cucu ba­ginda’.

“(Ketika) Baginda mula me­ngumpul bahan untuk menulis buku masakan sekitar tahun 2003 dan bertanya jika saya jual buku ini, ke mana duitnya hendak pergi? Dari situ baginda mendapat ilham untuk me­nubuhkan TAFF.

“TAFF adalah bukti sifat empati tuanku dengan wanita senasib dengan baginda. Kini ba­ginda adalah nenek, ninda, popo dan amma kepada semua 115 cucu TAFF kerana bantuan ini diberikan kepada semua tanpa mengira kaum,” katanya.

Hamimah berkongsi cerita bahawa Tunku Azizah pernah berjanji akan mencurahkan jiwa dan raga baginda dalam aktiviti kebajikan kepada rak­yat Pahang selepas mendapat zuriat, yang kemudian baginda dikurniakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah pada 1995.

Hamimah berkata, Tunku Azizah selepas dianugerahkan pasangan kembar Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah pada 2000, ber­azam untuk menggandakan aktiviti kebajikan baginda kepada rakyat.

Tunku Azizah yang dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang Selasa lepas, mendirikan rumah tangga de­ngan Sultan Pahang keenam, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 6 Mac 1986 dan mempunyai sembilan cahaya mata.

Hari ini, rakyat Malaysia me­nyaksikan pengisytiharan Ketua Negara baharu apabila Al-Sultan Abdullah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dalam satu istiadat di Istana Negara.