Titah baginda, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu menyalurkan cadangan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk tindakan selanjutnya seperti berkaitan kursus asas kebakaran.

“Musibah boleh berlaku pada bila-bila masa tetapi sekurang-kurangnya kita ada usaha. Jika ada bomba komuniti, boleh diberi latihan supaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan semasa kebakaran.

“Pasukan bomba juga perlu lebih proaktif dengan keperluan ini di setiap penempatan penduduk dengan sentiasa memeriksa saluran air di kawasan perumahan,” titah baginda selepas melawat mangsa kebakaran di Sungai Isap 2, di sini hari ini.

Semalam, tiga rumah di perkampungan itu musnah da­lam kebakaran yang berlaku pukul 4.30 petang dipercayai berpunca litar pintas.

Tengku Abdullah turut mengingatkan pemilik supaya menyedari kepentingan mengambil perlindungan insurans bagi setiap rumah khususnya di kawasan kampung.

“Beta harap semua perlu ada insurans kerana sedikit seba­nyak ia dapat membantu me­ringankan beban apabila berlaku kejadian yang tidak diingini se­perti ini. Beta dimaklumkan dua rumah (yang terlibat kebakaran) tidak mempunyai insurans.

“Salah sebuah rumah pula baru selesai dibaik pulih, namun apa yang lebih mustahak ialah bersyukur kerana semuanya selamat,” titah baginda.

Baginda menasihatkan individu yang diuji dengan musibah itu untuk bersabar dan berharap kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu mangsa kebakaran.

Sementara itu, Timbalan Pe­ngarah Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya dari semasa ke semasa menyarankan orang awam agar menyertai pasukan bomba komuniti dalam usaha membantu pasukan berkenaan jika berlaku bencana.

“Sehingga kini di Pahang ter­dapat sebanyak 72 pasukan bomba komuniti melibatkan 1,137 keahlian,” katanya.