Kemudahan asas yang belum direalisasikan, iaitu projek masjid baharu bernilai RM1.4 juta dan jambatan gantung Sungai Tanum yang rosak teruk selepas bencana banjir itu.

Penduduk Kampung Aur Ga­ding, Mohamad Dollah, 43, berkata, pembinaan masjid baharu itu penting untuk penduduk beribadat dengan selesa dan membantu mengembangkan syi­ar Islam di kampung berkenaan.

“Masjid lama terletak di pesisir Sungai Tanum kerap kali diancam banjir malah mengalami kerosakan paling teruk ketika bah merah 2014 dan beberapa kali telah dibaik pulih namun kesan kerosakan masih wujud sehingga ini.

“Kita bimbang setiap kali musim tengkujuh pada penghujung tahun, premis ini akan dinaiki air dan berharap kerajaan Pusat segera menyelenggarakan projek ini di tapak baharu dan lebih selamat,” katanya di Kampung Aur Gading, dekat sini baru-baru ini.

Seorang suri rumah tangga, Suryati Ramli, 41, berkata, kemudahan asas yang turut diperlukan ialah pembinaan semula jambatan gantung yang rosak akibat banjir pada 2014.

“Senario ini menyebabkan penduduk yang tinggal di perumahan seberang Sungai Tanum terpaksa mengambil jalan yang begitu jauh untuk menghantar anak ke sekolah, masjid dan berurusan di bandar Kuala Lipis,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, pembinaan masjid baharu di kampung itu sepatutnya diiklankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Jun tahun lalu menerusi peruntukan khas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan nilai RM1.4 juta.

“Malangnya, sehingga ini Kerajaan Pusat pimpinan Pakatan Harapan sejak mengambil alih pentadbiran negara masih berteka-teki mengenai status projek ini termasuk kemudahan asas lain kampung ini,” katanya.