Sempena pelancaran kempen berkenaan, sebanyak 20 kende­raan mewakili pelbagai agensi dan pihak dan 50 buah motosikal menyertai konvoi merdeka.

Bagi memeriahkan lagi sam­butan, sebanyak 500 bendera dikibarkan di sepanjang jalan di daerah ini selain pengibaran Jalur Gemilang atas inisiatif pelbagai pihak dan individu.

Pegawai Daerah, Datuk Azhar Arshad berkata, kempen Kibar Jalur Gemilang merupakan tradisi yang diadakan di daerah ini sempena kemerdekaan negara dan Hari Malaysia.

“Program-program sambutan kemerdekaan akan berakhir pada Hari Malaysia bulan depan. Saya minta kita semua menanam­kan sikap patriotik dan cintakan negara melalui kibaran Jalur Gemilang sama ada di rumah, premis kedai, pejabat, bangunan kerajaan dan di mana-mana sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Kempen Ki­bar Jalur Gemilang peringkat daerah di Hentian Raya Bentong di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Muhammad Shahid Ismail.

Menurut Azhar, dalam me­nye­marakkan sambutan bulan kemerdekaan, pihaknya me­rangka pelbagai program seperti acara perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan majlis sambutan Hari Malaysia pada 20 September ini.

Selain itu, kata beliau, pi­haknya akan menganjurkan maj­lis bacaan tahlil dan doa selamat untuk Malaysia pada 30 Ogos ini.

“Kita juga berharap pihak lain termasuk agensi kerajaan dan swasta turut menganjurkan program untuk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang mana kita akan memberi sokongan berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta dapat membeli dan mengibarkan bendera Malaysia dengan tidak hanya mengharapkan pemberian Jalur Gemilang secara percuma semata-mata.

Beliau juga meminta setiap individu termasuk ketua-ketua jabatan di negeri ini dapat memastikan premis mereka mengi­barkan Jalur Gemilang.

“Tidak perlu kita tunggu peruntukan untuk mengibarkan Jalur Gemilang kerana kita perlu malu kepada orang dan malu kepada anak-anak kita. Kita kena beli sendiri Jalur Gemilang,”