Sukan itu yang digilap menerusi aktiviti kokurikulum sekolah memperlihatkan kemampuan murid yang tinggal di kampung dan tanah rancangan Felda menguasainya dengan mengungguli kejayaan di peringkat daerah serta negeri.

Buktinya, pasukan tenis da­erah ini yang dibarisi murid dari penem­patan Felda dan kampung di kawasan Jelai melonjakkan nama Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Lipis apabila muncul juara keseluruhan kejohanan peringkat negeri di Kuantan, baru-baru ini.

Pasukan Lipis yang dibarisi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Koyan, SK Betau, SK Kuala Medang, SK Tanjong Gahai, SK Wan Ibrahim dan SK Aur Ga­ding mencipta sejarah bagi kategori bawah 12 tahun apabila pemainnya muncul johan kategori perseorangan lelaki, naib johan lelaki, johan beregu lelaki, naib johan beregu lelaki dan wanita.

Pemain bagi kategori bawah 15 tahun yang mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Sungai Koyan, SMK Seri Lipis dan SMK Agama Lipis pula muncul naib johan bagi kategori perseorangan wanita manakala beregu lelaki dan perempuan menduduki tempat ketiga.

Pencapaian membanggakan ba­gi sukan tenis daerah ini turut dipamerkan pemain bagi kategori 18 tahun yang muncul pemenang tempat ketiga perseorangan dan beregu wanita.

Pengerusi Teknik Tenis MSSD Lipis, Mohd. Shawaluddin Abu berkata, perancangan pembangu­nan sukan itu yang melibatkan pencarian bakat dan latihan intensif sejak tiga tahun lalu membuahkan hasil apabila daerah ini muncul johan keseluruhan peringkat negeri pada tahun ini.

“Kita berbangga kerana pemain berusia 12 tahun merupakan murid dari sekolah kawasan Felda Sungai Koyan dan kampung tradisional kawasan Jelai mampu mencapai kejayaan di peringkat negeri sekali gus menzahirkan perancangan serta komitmen jurulatih berkenaan untuk memajukan sukan ini.

“Kejayaan ini juga merupakan galakan daripada Unit Pembangunan Kemanusiaan (Sukan) Pejabat Pendidikan Lipis (PPL) khususnya menerusi program pencarian dan menggilap bakat pemain tenis di peringkat sekolah,” katanya di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, jurulatih bagi pasukan 12 tahun SK Felda Sungai Koyan, Rozman Salleh membe­ritahu, kesungguhan pemain ketika persediaan latihan intensif merupakan antara rahsia membolehkan daerah ini memperoleh kejayaan tersebut.

“Rata-rata pemain usia 12 tahun merupakan murid yang tinggal di kawasan Felda mampu menandi­ngi kemahiran serta keupayaan pemain dari daerah lain yang membanggakan PPL, warga sekolah dan ibu bapa.

“Usaha pencarian bakat diteruskan termasuk perancangan latihan mulai bulan ini sebagai persiapan kejohanan tahun depan sekali gus mengekalkan kejuaraan keseluruhan peringkat negeri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Penyelia Sukan PPL, Azhari Rose menjelaskan, pihaknya berbangga dengan kesungguhan pemain sekolah kawasan Felda dan luar bandar sehingga mampu meraih kejayaan dengan meletakkan daerah ini dikenali dalam sukan tenis.

“Unit Sukan PPL sentiasa memberi galakan jurulatih dan pemain mengembangkan potensi sukan ini menerusi program pembangunan iaitu latihan dan kejohanan antara sekolah di peringkat da­erah,” ujarnya.