Pengarah Pendidikan Pahang, Dr. Tajuddin Mohd. Yunus berkata, pada SPM 2018, seramai 15,686 bersamaan 88.34 peratus calon layak mencapai sijil (LMS) berbanding 87.37 peratus pada 2017 iaitu peningkatan 0.97 peratus.

Dari aspek kecemerlangan calon pula katanya, seramai 238 calon bersamaan 1.34 peratus mendapat semua A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

“Sekolah di negeri ini me­nunjukkan prestasi pencapaian yang meningkat secara berterusan terutama dari segi kualiti pencapaian.

“Ini ditunjukkan dengan trend GPN yang sentiasa me­ningkat bermula tahun 2015 dengan GPN 4.94 hingga kepada GPN 4.73 pada tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman SPM 2018 di Bilik Gerakan, Jabatan Pendidikan Negeri di sini hari ini.

Seramai 17,756 daripada 18,140 calon yang mendaftar bagi menduduki SPM 2018 hadir menduduki peperiksaan itu.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, negeri ini meneruskan tradisi kecemerlangan dalam peperiksaan SPM 2018 yang diumumkan hari ini dengan mencatatkan GPN sebanyak 4.90.

Beliau berkata, walaupun GPN yang diperoleh kekal sebagaimana tahun lalu, namun ia melepasi sasaran yang ditetapkan jabatan itu iaitu 4.85.

Katanya, negeri ini turut mencatatkan peningkatan mendadak bagi pencapaian layak SPM 2018 dengan 90.04 peratus berbanding 88.50 peratus pada 2017 manakala sebanyak 36 sekolah mencapai 100 peratus la­yak SPM berbanding 32 sekolah tahun sebelumnya.

“Ini merupakan kejayaan tertinggi untuk Terengganu dan kita berpuas hati dengan pencapaian semasa.

“Kita menyasarkan 10 calon mendapat semua A+ tetapi hanya empat sahaja yang berjaya manakala bilangan yang mendapat semua A kekal seramai 272 orang dan semua A terma­suk A+ (276 orang),” katanya.

Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan, Abdullah Mat pula berkata, keputusan pepe­riksaan SPM 2018 negeri ini adalah yang terbaik sejak 10 tahun lalu.

Beliau berkata, keputusan yang diumumkan hari ini mencatatkan peningkatan sebanyak 0.11 mata daripada GPN 4.95 pada 2017 kepada 4.84 untuk tahun lalu.

Beliau berkata, keputusan itu juga telah mengatasi GPN Nasional dengan mata yang sama dan ia adalah yang terbaik jika dibandingkan dalam tempoh 10 tahun lalu.

“Sebanyak tiga calon dari Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra mendapat semua A+ dan seramai 262 calon mendapat sekurang-kurangnya A- dalam semua mata pelajaran yang diambil,” katanya.

Tiga pelajar tersebut ialah Muhammad Naim Mohd. Shamshudin mendapat 10+ manakala Mohamad Hafizuddin Mohd. Norwawi dan Wan Farah Hanan Wan Mohd Johari mencatatkan keputusan 9A+.

Abdullah berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding hanya seorang calon sahaja mendapat semua A+ dan 199 orang mendapat sekurang-kurangnya A- pada tahun 2017

Katanya, terdapat 28 sekolah termasuk tujuh Sekolah Agama Bangunan Kerajaan (SABK) mencapai kelulusan 100 peratus.

“Pada tahun 2017, sebanyak 24 buah sekolah yang mencapai kelulusan yang sama.

“Sekolah Menengah Sains Machang mencatatkan kelulusan 100 peratus bagi semua mata pelajaran serta 15 sekolah pula mencapai kelulusan 85 peratus ke atas,” katanya.

Dalam pada itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Kemumin diumumkan antara 10 sekolah yang mencatatkan lonjakan bestari dalam keputusan SPM 2018.