Pengarah Pendidikan ne­geri, Datuk Rosdi Ismail berkata, daripada 18,988 calon yang menduduki peperiksaan tersebut, sebanyak 30 buah sekolah mencapai keputusan membanggakan iaitu seratus peratus layak mendapat sijil.

“Mulai 2013, calon SPM wajib lulus mata pelajaran Bahasa Me­layu dan Sejarah bagi melayakkan mereka mendapat sijil. Berdasarkan keputusan, seramai 16,493 calon layak mendapat sijil.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 269 pelajar atau 1.14 pe­ratus memperoleh semua A iaitu A+, A dan A-,” katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar di sini hari ini.

Yang hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah, Mohd. Razali Mustafa.

Rosdi berbangga dengan pres­tasi sekolah bandar dan luar bandar yang menunjukkan pe­ningkatan dengan nilai GPS 4.56 membabitkan 18 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus.

Antara sekolah tersebut, katanya, ialah SMK Sultan Abu Bakar yang memperoleh GPS 2.24, Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Haji Ahmad Shah di sini (2.34); SM Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan (2.36); Sekolah Ber­asrama Penuh (SBP) Integrasi Pekan (2.42) dan SMK Sulaiman di Bentong (2.50).

“Maahad Tahfiz Negeri Pahang iaitu sekolah yang dibangunkan kerajaan negeri juga kekal meneruskan kecemerlangannya dengan GPS sebanyak 1.58,” ujarnya.

Sementara itu, Rosdi berkata, pihaknya memperkenalkan satu program dikenali sebagai Program Pengupayaan Pe­mimpin Pendidikan Pahang bagi membantu meningkatkan kejayaan pelajar dalam peperiksaan.

“Program ini dilihat dapat membantu meningkatkan kejayaan anak-anak kita dalam mencapai keputusan cemerlang,” katanya.