Pengarah Pusat Pembangunan dan Penempatan Kerjaya (CPDC) Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat UMP, Datuk Jeffrey Khor Chooi Beng berkata, objektif utama penganjuran itu adalah untuk membawa peluang latihan dan pekerjaan kepada para siswazah serta pencari kerja.

“Program SL1M kali ini turut memberikan pendedahan kepada seluruh masyarakat dan manfaat penganjurannya kepada semua terutama pencari kerja di sekitar Pantai Timur.

“Konsepnya adalah syarikat-syarikat terlibat terus melakukan sesi temuduga dengan menawarkan peluang pekerjaan dan latihan daripada pelbagai peringkat kelulusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Chooi Beng, siswazah memperoleh faedah mene­rusi kebolehpasaran di syarikat memberikan latihan yang tertakluk kepada kekosongan jawatan dan prestasi setiap pekerja.

Selain pendedahan dan me­ningkatkan keyakinan diri, katanya, para siswazah juga mendapat latihan kemahiran insaniah serta elaun bulanan.

“Bagi majikan yang menyertai SL1M, kerajaan memperkenalkan beberapa insentif kepada mereka,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai mula menyerbu Kompleks Sukan UMP seawal pukul 7.30 pagi bagi mencari peluang pekerjaan dalam bidang masing-ma­sing.

Program turut dimeriahkan dengan persembahan artis seper­ti Kumpulan Zero daripada Maharaja Lawak Mega.

Seorang pencari kerja, Anis Shamimi Azmi, 24, yang ditemui berkata, penganjuran program tersebut memberi peluang kepada siswazah memilih bidang pekerjaan yang diminati berdasarkan kelulusan masing-masing.

“Saya masih mencuba mencari pekerjaan yang terbaik dan bersesuaian terutama dari segi elaun,” kata siswazah Universiti Tenaga Nasional itu.