Mohd. Pauzi Abu Hussaini (kiri) mendengar penerangan daripada seorang kakitangan MDR mengenai pemprosesan baja kompos di Bukit Fraser, dekat Raub, Pahang, baru-baru ini.

Projek di Bukit Fraser yang terletak di dalam kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membuahkan hasil apabila dimanfaatkan sebagai baja pokok di sekitar pusat peranginan tanah tinggi berkenaan.

Setiausaha MDR, Mohd. Pauzi Abu Hussaini berkata, proses membuat baja kompos itu melibatkan sisa makanan dibuang oleh hotel dan premis makanan di kawasan Bukit Fraser yang dicampur dengan sekam padi serta bahan tertentu sebelum menjadi baja kompos.

“Kami berterima kasih kepada sebuah agensi teknikal iaitu Japan International Cooperation Agency (JICA) yang turut menyumbang sebuah mesin penghancur bagi penguraian sisa makanan, sekam padi dan bahan lain sebelum dijadikan baja kompos.

“Kerja memproses baja ini dijalankan di Pusat Pemprosesan Sisa Makanan dan Baja Kompos dengan dikendalikan oleh dua orang petugas PBT ini yang mampu menghasilkan antara 10 hingga 15 kilogram baja setiap pengeluaran,” katanya di Bukit Fraser, dekat sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Pauzi, sehingga kini, baja kompos keluaran pusat berkenaan digunakan untuk baja pokok landskap di kawasan pusat peranginan Bukit Fraser manakala selebihnya bagi kegunaan projek sama di bandar ini.

Katanya, penghasilan baja kompos itu antara komitmen dan usaha bagi meringankan beban PBT berkenaan menyelesaikan pelupusan sisa makanan dari kawasan hospitaliti dan premis di situ termasuk penjimatan kos penyelenggaraan.

“Kami akan berusaha memperbanyakkan pengeluaran baja kompos untuk kegunaan tanaman landskap di sekitar Bukit Fraser dan bandar Raub tanpa menggunakan baja kimia yang lain di samping mampu menyumbangkan persekitaran yang bersih serta sihat,” katanya.