Walau bagaimanapun, kini setelah hampir lima dekad menikmati bekalan air bersih, penduduk bakal kembali kepada era 1960-an ketika tiada bekalan air bersih.

Kira-kira 47 keluarga di kampung yang terletak di Lanchang di sini khususnya di kawasan tinggi mengalami gangguan bekalan air sehingga terpaksa bergantung kepada air tangki di luar rumah.

Seorang penduduk, Mohd. Nizam Abdul Karim, 46, berkata, isu bekalan air bersih menjadi masalah utama penduduk di situ sehingga menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Menurutnya, dia yang telah lebih setahun mengalami mas­alah itu terpaksa bergantung kepada air tangki yang diletakkan di hadapan rumah yang perlu diangkut setiap hari.

“Saya amat kecewa kerana masalah ini berlarutan dan tiada kesudahan wa­laupun sudah diadukan berkali-kali tetapi tiada pihak yang datang untuk menyelesaikannya.

“Bayangkan betapa seksanya kami terpaksa mengangkut air setiap hari apatah lagi orang tua dan orang sakit,” katanya di sini, hari ini.

Seorang suri rumah, Siti Noraida Abu Samah, 42, memberitahu, ketiadaan bekalan air menyebabkan kos sara hidup meningkat kerana mereka terpaksa membeli air dan juga menggunakan per­khidmatan dobi untuk membasuh pakaian kotor.

“Kami memang tiada lagi duit simpanan sebab terpaksa beli air minuman dan bagi mencuci pakaian pula, kami membelanjakan kira-kira RM12 sekali mencuci pakaian,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk Md. Daud Senin, 60, menjelaskan, masalah berkenaan menyebabkan ada anak dan saudara mara tidak mahu pulang ke kampung.

“Ada anak-anak dan saudara mara akan bertanyakan dahulu kepada ibu bapa dan keluarga sama ada terdapat air bersih atau tidak sebelum pulang. Jadi saya harap perkara ini dapat diselesaikan apatah lagi menjelang Hari Raya Aidiladha,” jelasnya.