Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, dalam permainan itu, buah catur ‘king’ dijelmakan sebagai kedaulatan sesebuah negara, simbol keagamaan dan kekuatan bangsa.

Titah baginda, ‘queen’ pula diibaratkan sebagai ‘wazir’ iaitu pemerintah yang mempunyai bidang kuasa cukup luas sehinggakan pergerakannya tidak dibatasi oleh mana-mana buah catur lain seperti ‘bishop’, ‘castle’, ‘knight’ dan lain-lain.

“Masing-masing mempunyai peranan dalam merangka strategi menangkis serangan buah catur pihak lawan. Begitulah dengan kehidupan kita seharian yang mana rakyat, pemerintah dan raja masing-masing dengan peranan tersendiri.

“Melalui peranan tersebut, kita perlu bersatu bagi memastikan strategi permainan kita mampu mengabui gerakan pihak lawan daripada menganggu gugat kedaulatan negara. Bukan setakat itu, semestinya peranan kita tidak boleh melampaui batas,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Kejohanan Catur Antarabangsa Terbuka Pahang 2019 di sebuah hotel di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - UTUSAN ONLINE